Tuesday, October 5, 2010

Dosa membutakan mata hati, memadamkan cahaya hati, menutup jalan-jalan ilmu serta menghijab hidayah Allah..

Akibat dan balasan orang yang melakukan dosa akan mengakibatkan mata hati, cahaya hati terpadam, menutup jalan-jalan ilmu dan jalan-jalan hidayah Allah akan terhijab. Antara pesanan guru Imam As-Syafie iaitu Imam Malik RA mengatakan

“Aku telah menyaksikan bahawa Allah SWT telah menganugerahkan nur atau cahaya dalam hatimu, maka janganlah engkau memadamkannya dengan kegelapan dosa dan maksiat”

Maka bertambahlah kegelapan dalam diri manusia yang sentiasa melakukan dosa, justeru hilang serta semakin malaplah cahaya hati yang ada pada diri mereka. Apabila kegelapan semakin bertambah didalam hati manusia maka, mereka tidak lagi merasa dosa atau maksiat yang dilakukan bahkan mereka menganggap dosa-dosa tersebut begitu remeh.

Dan apabila hati telah ditutupi dengan kegelapan maka jadilah manusia ibarat orang buta yang berjalan diwaktu malam sedang menempuh jalan yang penuh dengan bahaya, maut dan kebinasaan. Alangkah mudahnya terdedah kepada kebinasaan, lama- kelamaan kegelapan maksiat semakin kuat, menular didalam hati ke segenap anggota tubuh badan. Dan begitu juga wajah yang asalnya mempunyai cahaya telah menjadi hilang dan diliputi kegelapan menurut dosa dan maksiat yang dilakukannya.

Firman Allah ta’ala;
“Dan sesiapa Yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran Yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Maka Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu jadilah Syaitan itu sebagai Temannya Yang tidak renggang daripadanya”.
Surah Al-Zukhruf ayat ; 36.

Apabila manusia mengendahkan ajaran serta petunjuk daripada Allah, maka Allah akan mengutuskan syaitan kepada manusia sebagai temannya. Ini akan menyebabkan manusia akan terus-menerus melakukan dosa dan lupa akan tanggungjawabnya sebagai seorang muslim.

Firman Allah ta’ala;
“ Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum Yang fasik - derhaka.”
Surah As-soff ayat ; 5.

Peliharalah iman dan sentiasalah berwaspada terhadap apa jua perkara yang mengundang manusia kepada kegelapan dan kefasikan. Janganlah terlalu mengikut hawa nafsu semata-mata, ia hanyalah untuk kepuasan duniawi yang bersifat sementara sahaja.

No comments: