Sunday, July 13, 2008

I M A N

Oleh Al-Imam Asy-Syahid Hassan al-Banna

Iman yang benar ialah Iman yang merangkumi pengertian dan ciri-ciri keimanan, seperti bersih daripada syirik khafi dan riya’. Iman yang benar meresap ke dalam hati dan bertakhta di jiwa, menggerakkan anggota zahir untuk melakukan ketaatan kepada Allah SWT, menjadikan perkara-perkara ghaib seolah-seolah hadir di hadapan mata, memenuhkan jiwa dengan peranan tenang, tabah dan tetap pendirian, memudahkan mereka yang mempunyai Iman seperti ini bekorban apa sahaja demi Jalan Allah SWT, menambahkan pergantungan, kepercayaan, tawakkal, harapan, takut dan penyerahan mereka kepada Allah SWT.

Apabila pengertian Iman seperti ini memenuhi hati seseorang muslim, jiwa akan ringan melakukan apa sahaja bentuk ibadah dan ikhlas semata-mata kepada Allah SWT. Ibadah dan Iman seperti ini mempunyai pengaruh dan kesan yang besar dalam kehidupan dunia dan akhirat. Kehidupan dunia akan dipenuhi dengan kebahagiaan, kegembiraan dan ketenangan yang meresap di seluruh pelusuk jiwa. Kegemilangan yang sungguh indah dan cahaya yang terang akan memenuhi hati seseorang Muslim. Apabila cahaya batin ini bertambah sinarnya dan melimpah di wajah muslim, sinar yang dapat dilihat oleh orang-orang yang beriman sekali pun kulit muslim itu hitam atau sawo matang. Manakala di akhirat pula kemanisan Iman ini akan dapat dirasakan lebih manis daripada madu.

Sebahagian daripada tanda-tanda lahir kemanisan Iman ialah kecintaan seseorang mu’min untuk melakukan ibadah, merasa selesa dan tenang melakukannya serta merasa rindu dan lapang dada melakukannya. Janganlah kita merasa pelik dan menganggap perkara ini hanyalah khayalan semata-mata kerana Iman mempunyai kemanisan yang dapat dirasakan oleh Ruh sebagaimana lidah dapat merasakan kemanisan makanan. Hadith Rasulullah S.A.W. yang mulia telah menyebut:
“Jika terdapat perkara ini pada seseorang beliau akan merasakan kemanisan Iman: beliau mengasihi Allah dan Rasul-Nya lebih daripada segala sesuatu, beliau benci untuk kembali kepada kekufuran setelah dilepaskan Allah daripadanya sebagaimana benci dicampakkan ke dalam api neraka, beliau mengasihi seseorang bukan kerana sesuatu (kepentingan) tetapi hanyalah kerana Allah.”
Iman ada kemanisan. Kemanisan tersebut akan bertambah apabila Iman bertambah kuat dan termeteri.

Sebahagian daripada Iman yang benar dan ibadat yang sah ialah Allah SWT akan mencampakkan ilham dan lintasan ke dalam hati mu’min. Ilham dan lintasan hati akan menyuluh jalan orang-orang yang beriman, menolong dalam menyelesaikan permasalahan dan menolong mencari kebenaran.

Kasyaf adalah juga sebahagian daripada kesan Iamn yang benar. Kasyaf yang dimaksudkan di sini ialah Allah SWT membukakan tabir yang melindungi sebahagian daripada perkara-perkara yang tersembunyi atau ghaib. termasuk juga dalam pengertian kasyaf ini ialah mengetahui bisikan hati, niat dan kelemahan sesetengah manusia dengan Izin Allah SWT. Kasyaf seperti dikenali sebagai Firasat Mu’min. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Takutlah Firasat orang-orang Mu’min, seseungguhnya ia melihat dengan Nur Allah.” Dalam satu Athar (kejadian atau kisah yang berlaku pada zaman sahabat) dikisahkan bahawa Sayyidina Othman Bin Affan RA telah berkata kepada sebahagian orang ramai yang datang menemuinya, “Salah seorang di kalangan kamu yang masuk, sedangkan kesan zina jelas kelihatan di antara dua matanya.” Lantas di kalangan yang hadir itu bertanya, “Adakah wahyu turun selepas Rasulullah SAW, wahai Amir al-Mu’minin?” Soalan ini dijawab oleh beliau dengan katanya, “Tidak, malah ia adalah firasat orang mu’min”. Kesan zina yang dilihat oleh Sayyidina Othman ialah kesan daripada melihat perkara yang haram, kerana dalan Hadith Rasulullah SAW pernah menyatakan bahawa mata itu berzina dan zina mata ialah melihat perkara yang haram.

Ilham, lintasan hati dan firasat adalah termasuk dalam perkara-perkara yang thabit dan pernah berlaku. Kadangkala perkara ini disebut Karamah. Karamah adalah satu kebenaran yang mesti diterima, diakui dan wajib diimani, tetapi tidak harus dijadikan dalil terhadap hukum hakam, kerana dalil hukum hakam hanyalah terbatas pada al-Quran, as-Sunnah dan ceraiannya. Walaupun demikian ilham dan sebagainya bolehlah dianggap sebagai penunjuk jalan untuk mengenali seseorang, keadaan-keadaan tertentu, mengetahui perkara-prkara yang bersangkutan dengan urusan hidup; mana yang harus dilakukan atau ditinggalkan.

Sebahagian daripada mimpi-mimpi adalah benar dan sebahagian besarnya adalah karut. Mimpi seseorang yang benar-benar beriman pada kebiasaannya adalah benar, jelas dan memerlukan penghuraian...

Tuesday, May 20, 2008

Marah

IMAM Syafie ada menegaskan: “Marah adalah satu di antara panah syaitan yang mengandungi racun. Oleh itu hindarilah ia agar kamu dapat menewaskan syaitan dan bala ten teranya.”Apabila marah dituruti, ia akan membakar kebaikan seperti api membakar kayu dan tiada yang tertinggal kecuali debu. Bagi menghilangkan perasaan marah ada beberapa panduan yang boleh diikuti, iaitu:
1. Perlu berasa malu dengan Allah atas segala tindakan kita. Allah memerhatikan segala tindakan dan sikap biadab kita.
2. Apabila datang perasaan hendak marah, ingatlah kita ini hanya manusia yang hina.
3. Banyakkan berdiam diri dan berdoa kepada Allah supaya Allah selamatkan kita daripada sifat marah.
4. Hendaklah ingat kesan daripada sifat marah. Ia mungkin membawa kepada permusuhan dan balas dendam daripada orang yang kita marahi.
5. Cuba bayangkan betapa buruknya rupa kita ketika marah. Ia lebih buruk daripada perlakuan seekor haiwan apabila kita dalam keadaan marah.
6. Apabila datang perasaan marah, banyakkan membaca isti'azah kerana marah itu datang daripada syaitan.
7. Apabila marah sedang memuncak, ambillah wuduk kerana ia dapat menenangkan api kemarahan yang sedang membara.
8. Jika marah tidak dapat hilang dengan melakukan perkara seperti di atas, hendaklah tidur. Ini kerana ia dapat meredakan perasaan marah apabila bangkit dari tidur nanti.
9. Tauhid kita perlu tepat. Setiap sesuatu itu datang daripada Allah dan akan kembali kepada Allah. Kenapa kita perlu marah?
10. Apabila kita bersalah, kita tidak suka orang memarahi kita. Begitu juga dengan orang lain yang melakukan kesilapan, tidak suka dimarahi, sebalik ditegur secara baik.
11. Satu cara lagi, apabila marah datang, sedangkan kita berdiri, duduklah. Apabila duduk, bersandarlah. Insya-Allah marah akan mula reda.

Thursday, February 28, 2008

Ikhlas

Ikhlas bukanlah satu perkara yang mudah untuk dipraktikkan.. Ikhlas adalah suatu perkara yang paling penting dalam melaksanakan setiap perkara terutamanya pada perkara yang berkaitan dengan ibadat. Jika tidak lahir sifat ikhlas dalam diri seseorang itu maka rugilah setiap perkara atau amalan yang telah dilakukannya. Sifat ikhlas tidak dapat dibeli atau dibuat-buat, kerana ianya lahir daripada lubuk hati yang murni atau dikenali sebagai iman. Setiap muslim dituntut untuk bersifat ikhlas dalam melakukan setiap perkara.

Firman Allah S.W.T
Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya (ikhlas) dalam (mengamalkan) agama yang lurus[1595], dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat; dan yang demikian Itulah agama yang lurus. (Surah Al-Bayyinah ayat 5)
[1595] Lurus berarti jauh dari syirik (mempersekutukan Allah) dan jauh dari kesesatan.

Kesan daripada sifat ikhlas adalah dapat menjauhkan kita daripada seksaan api neraka dan menempatkan kita ke dalam Syurga yang kekal abadi, Insyaallah.. Peliharalah iman, kerana sifat ikhlas lahir daripada lubuk hati seseorang yang beriman. Maka, jauhilah daripada sifat Syirik dan Riak kerana kedua sifat ini dapat merosakkan keikhlasan seseorang. Kedua sifat ini bukan sahaja merosakkan sifat ikhlas tetapi juga dapat melemahkan iman. Jika sesebuah masyarakat itu dapat melaksanakan setiap amalan atau tugasan dengan ikhlas, nescaya mereka akan menjadi sebuah masyarakat yang berjaya di dunia dan di akhirat. Sentiasalah mengikhlaskan diri dalam melakukan setiap perkara.
Semoga Allah memberikan kekuatan kepada kita untuk melaksana setiap perkara dan ibadat dengan ikhlas.. Amin...